Tuesday, January 9, 2007

[ 29 ]

Bunyi alarm telefon bimbitnya betul-betul mengganggu tidur Nureen. Dengan malas dia mencapai telefon bimbit dan mematikan alarm tersebut. Perlahan-lahan dia membuka mata. Mata yang mengantuk cuba dibuka, dia perlu memenuhi tuntutan agama, menunaikan solat Subuh. Nureen bangun dan bergerak perlahan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Kemudian dia keluar semula, tidak jadi untuk mengambil wuduk kerana masa ‘cuti’ dia dah tiba. Nureen kembali ke katil dan merebahkan badan ke tilam. Matanya dipejamkan. Akhirnya dia kembali terlena.

“Reen, Reen,”

Sayup-sayup terdengar suara memanggil nama Nureen berulang kali. Nureen cuba membuka mata dan mengamati suara tersebut.

“Reen, Reen. Bangunlah, aku dah nak pergi kedai ni,” panggil Syazana dari luar. Dia risau sesuatu terjadi kepada Nureen kerana jam menunjukkan hampir pukul 9 pagi. Selalunya waktu-waktu begini Nureen sudah bersiap untuk bersama-sama ke kedai mereka.

“Reen!!” panggil Syazana lagi sambil mengetuk pintu. Dia cuba membuka pintu bilik tersebut namun berkunci. Terdetik rasa pelik di hati sebab selama ni, Nureen jarang mengunci pintu bilik.

“Ya, kenapa?” sahut Nureen dari dalam. Syazana menarik nafas lega.

“Dah pukul 9 dah ni. Aku nak pergi kedai, kau tak payah pergilah ya, rehat je kat rumah. Aku tau emosi kau belum stabil lagi,”

“Erm…aku dah ok,” jawab Nureen dan kemudian dia bangun dan membuka pintu bilik.

“Aku ingat kau pengsan,” ujar Syazana sebaik saja Nureen muncul di depannya.

“Aku dah bangun subuh tadi tapi period la pulak so aku sambung tidur. Lupa nak set alarm balik semula,”

“Aku pergi dululah. Aku rasa kau rehat je kat rumah. Aku tau kau masih ingat hal malam tadi, kan?”

“Ish..aku okey dah. Nanti aku pergi kedai, dalam pukul 11 aku sampai sana. Okey?”

“Orang suruh rehat nak juga pergi kedai tu. Okeylah, nanti kita jumpa,”

“Kau kan tau, kedai tu ibarat nyawa aku. Mana boleh tak pergi. Okeylah, aku nak mandi. Jumpa nanti,”

“Okey, aku pergi dulu. Nanti drive elok-elok. Jangan nak fikir yang tak sepatutnya,” pesan Syazana pada Nureen. Nureen hanya tersenyum dan menganggukkan kepala tanda mendengar pesanan Syazana. Kemudian dia menutup pintu bilik. Tuala di tepi pintu di capai dan dia masuk ke bilik air untuk mandi. 30 minit kemudian, dia keluar dari bilik air dan terus bersiap untuk ke kedai. Blaus merah berbunga kecil disarungkan ke badan. Dia memadankan blaus tersebut dengan jean hitam dan tudung dari rona yang sama dengan blausnya. Setelah berpusing di depan cermin beberapa kali, Nureen mencapai handbag dan keluar dari bilik. Setelah memastikan semua pintu dan tingkap telah ditutup dan dikunci, dia bergerak menuju ke keretanya. Jam di pergelangan tangan dijeling, pukul 10, bisik hatinya.

No comments: