Thursday, February 1, 2007

[ 40 ]

Sebaik saja Doktor Anis keluar dari biliknya, dia segera bangun dari katil. Dia mahu cepat-cepat mengemaskan barang-barang peribadinya kerana sebentar lagi Syazana akan datang menjemputnya pulang. Semalam dia telah memaklumkan pada papa, mama, Along yang dia sudah boleh keluar hari ini, begitu juga dengan Syazana. Disebabkan semuanya sibuk dengan urusan masing-masing maka dia meminta Syazana datang mengambilnya di hospital. Tangannya lincah memasukkan barang-barang ke dalam beg pakaiannya. Hanya tinggal sepasang baju yang tidak di masukkan ke dalam beg kerana baju itu akan dipakainya. Dia akan mengucapkan selamat tinggal kepada uniform hospital yang dipakainya sepanjang berada di wad itu. Tiba-tiba kedengaran pintu biliknya dibuka.

“Cepatnya kau datang, Syaz. Kata pukul 11.30, ni baru pukul 10. dah tak sabar nak suruh aku kerja ke?” soal Nureen lalu menoleh ke belakang. Dia terpaku melihat susuk tubuh yang sedang berdiri di depannya sekarang ini. Bukan Syazana yang muncul tetapi seorang lelaki. Dia mengerutkan dahi, macam pernah tengok tapi kat mana, siapa, bisik hati kecil Nureen.

“Encik nak cari siapa? Salah bilik ye?” soal Nureen pada lelaki yang begitu asyik merenungnya. Soalannya terbiar tanpa jawapan.

“Hello, encik cari siapa?” soal Nureen lagi sambil menggawangkan tangannya di hadapan muka lelaki itu.

“Erm…Reen tak kenal abang?”

Nureen mengerutkan dahi, apa lelaki ni, aku tanya dia, dia tanya aku balik, omel Nureen perlahan namun dapat ditangkap oleh di pendengar.

“Sampai hati Reen buat-buat tak kenal dengan abang. Tahulah abang pernah buat Reen terluka,” ujar Luqman Faris.

“Saya minta maaf tapi saya betul-betul tak kenal encik. Encik nak cari siapa sebenarnya? Mungkin encik tersalah bilik,” jelas Nureen. Dia mahu lelaki yang tidak dikenali itu segera keluar dari biliknya agar dia boleh meneruskan kerja yang terganggu tadi.

“Reen…ini abang. Kenapa Reen buat macam tak kenal abang?” soal Luqman agak kasar. Geram dengan sikap Nureen yang seolah-olah tidak mengenali dirinya. Takkan la sebab putus cinta sampai tak kenal aku, desis hati Luqman. Nureen memandang tajam lelaki yang bercakap kasar dengannya. Kemudian dia berpaling membelakangkan lelaki itu dan kembali mengemas barang-barangnya.

“Reen, dah siap?” soal Syazana yang tiba-tiba muncul.

Nureen kembali berpaling, dalam hati dia memanjatkan kesyukuran apabila melihat Syazana tiba.

“Eh, apa abang buat kat sini?” soal Syazana sebaik saja dia sedar bahawa ada orang lain dalam bilik tersebut selain Nureen.

“Baru la juga tapi…”

Belum sempat Luqman menghabiskan ayatnya, dia terasa tangannya ditarik.

“Kenapa?” soalnya pada Syazana.

“Syaz ada hal sikit nak cakap pada abang. Reen, aku keluar sekejap ya. Kau kemas la dulu,” ujar Syazana kemudian menarik tangan Luqman sekali lagi agar mengikutnya keluar. Nureen hanya memandang. Syaz kenal lelaki tu ke, soalnya tapi hanya dalam hati.

“Apa abang buat kat sini?” soal Syazana sebaik saja dia dan Luqman tiba di luar bilik Nureen.

“Abang nak lawat Reen, tak boleh ke?”

“Lawat Reen? Syaz rasa buat masa sekarang baik abang tak payah lawat atau jumpa dengan Reen,”

“Kenapa?”

Syazana diam. Dia tak tau nak mulakan dari mana untuk menerangkan keadaan Nureen kepada Luqman.

“Syaz, boleh abang tanya?”

“Tanyalah,”

“Kenapa Reen buat macam tak kenal abang? Marah sangatkah dia pada abang sampai buat-buat tak kenal pada abang?” soal Luqman ingin tahu. Syazana menarik nafas. Lelaki itu sudah perasan pada satu perubahan yang terjadi pada Nureen.

“Abang, itulah sebab kenapa Syaz tak bagi abang lawat atau jumpa Reen,” jelas Syazana. Luqman mengerutkan dahi, tidak faham dengan apa yang dikatakan oleh Syazana.

“Sebenarnya, Reen bukan buat-buat tak kenal abang tapi dia memang tak kenal abang,”

“What?! Jangan main-main Syaz,” soal Luqman sedikit terjerit. Terkejut mendengar apa yang disampaikan oleh Syazana. Tiba-tiba terdetik rasa kesal dihatinya kerana telah berkasar dengan Nureen tadi. Rupa-rupanya dia memang tak kenal bukannya main-main.

“Syaz tak main-main,bang. Tapi itulah kenyataannya. Reen hilang ingatan akibat kemalangan yang menimpanya. Dia langsung tak ingat papa, mama, along, Syaz dan semuanya. Bagaimana kemalangan tu jadi pun dia tak ingat. Bila kami semua cerita kat dia siapa kami, baru dia boleh ingat sikit-sikit. Itupun kadang-kadang dia blur juga. Dia juga tak ingat langsung tentang abang,”

“Habis Syaz tak bagitau dia tentang abang?”

Syazana menggelengkan kepala.

“Kenapa?” soal Luqman kasar.

“Saja tak nak cerita,” jawab Syazana selamba. Geram dengan Luqman yang tiba-tiba meninggikan suara padanya.

“Saja? Tapi kenapa?”

“Abang nak tahu kenapa?” soal Syazana dan Luqman menganggukkan kepalanya tanda ingin tahu.

“Sebab…” belum sempat Syazana hendak memberitahu perkara sebenarnya, terdengar pintu bilik Nureen dibuka. Terjengul wajah Nureen.

“Aku dah siap. Boleh balik dah ke?” soal Nureen sambil melemparkan senyuman.

“Okey, jom,”

“Kau dah habis berbual ke?”

“Dah. Okeylah, nanti Syaz call. Jumpa lagi,” ujar Syazana pada Luqman. Kemudian dia mendapatkan Nureen yang sedang menanti dan memerhati.

“Siapa lelaki tu?” soal Nureen sebaik saja mereka tiba di kereta Syazana.

“Oo..kawan aku,”

“Kawan kau? Tapi apsal dia masuk bilik aku tadi? Lepas tu bila aku tanya dia tak jawab pastu dia tanya aku marah-marah,”

“Kawan aku tu nak melawat orang lain. Tersilap bilik. Emosilah sikit sebab dia ingat dia masuk bilik yang betul pastu kawan dia main-mainkan dia, buat-buat tak kenal. Tu yang dia angin tu,” ujar Syazana. Ampunkan aku, ya Allah. Aku terpaksa berbohong demi kebaikan Nureen, pohon Syazana.

“La…patutlah. Terkejut aku dibuatnya. Tapi kan…aku macam pernah tengok la muka lelaki tu tapi lupalah kat mana,”

Jantung Syazana seakan-akan berhenti berdenyut mendengar kata-kata Nureen. Dia berpaling…

“Pelanduk dua serupa kot. Tak pun maybe kau pernah jumpa kat mana-mana. Ish..dah la. Apa cite pasal orang yang takde kena mengena dengan kita,”

“A’ah kan. Aku laparlah, kita pergi makan dulu nak. Pastu baru balik rumah,”

“Okey. Lepas makan aku hantar kau balik. Nanti aku datang rumah lepas tutup kedai,”

“Datang rumah? Rumah siapa?”

“Rumah kau la,”

“Eh..bukan ke kita nak balik rumah,”

“Memang la tapi bukan rumah kita, rumah kau. Mama suruh aku hantar kau ke sana. Nanti kau dah betul-betul okey baru boleh balik duduk dengan aku,”

“Apa ni, aku dah sihat la. Kenapa nak balik rumah sana pulak,” luah Nureen tak puas hati.

“Memanglah tapi mama yang suruh,”

“Eii..aku tak suka lah…takpelah nanti aku cakap dengan mama,” ujar Nureen. Syazana hanya tersenyum. Walaupun Nureen hilang ingatan tapi sikap degilnya masih tak hilang.

“Kenapa senyum ni?”

Teguran Nureen mematikan senyuman Syazana. Dia hanya menggeleng.

No comments: